Selasa, Julai 21

Info Ikan Terubuk Masin.

Info Ikan Terubuk Masin.


TERUBUK di Sarawak hanya dapat ditentukan jantinanya apabila menjangkau usia dua tahun dan bertelur. Sebelum tempoh itu, ketika berusia bawah setahun, ikan banyak tulang berkenaan dikenali sebagai empirit di kalangan penduduk tempatan. Saiznya sekitar 27 sentimeter panjang dan berat di bawah 600 gram.


Seekor terubuk yang berusia dua tahun, mampu menghasilkan antara 500,000 hingga 2 juta telur dan daripada jumlah itu kurang lima peratus saja yang berjaya menetas, seterusnya membesar sebagai empirit kemudian matang sebagai terubuk.



Jantina Ikan Terubuk Masin.


Jantina terubuk di luar negara contohnya di Indonesia, India, Thailand, Bangladesh, Burma, Pakistan dan Kuwait dapat dipastikan sejak dari kecil.



Di Sarawak ada dua jenis terubuk iaitu terubuk laut atau Tenualosa macrura yang bermulut kecil, bersaiz pendek dengan bahagian kepala lebih kecil dan badan lebih gemuk. Manakala terubuk sungai (Tenualosa toli) muncung (mulut lebih besar dan panjang) juga dikenali sebagai Terubuk Sarawak di kalangan penduduk negara ini.


Terubuk laut didapati banyak di persisiran pantai dari Tanjung Datu hingga ke Tanjung Sirik. Manakala terubuk Sarawak di perairan muara sungai seperti Batang (sungai) Lupar, di Sri Aman, Batang Lassa di Mukah, Batang Sadong di Samarahan dan Batang Saribas di Betong.


Perbezaan Ikan Terubuk Masin.


Perbezaan antara terubuk Sarawak dengan terubuk import, ialah terubuk tempatan berkepala besar tetapi pendek manakala ikan import berkepala bulat dan panjang.


Berbanding ikan lain di pasaran, terubuk Sarawak segar memang popular dan mempunyai permintaan tinggi disebabkan keenakan isi dan telurnya lebih-lebih lagi jika dipanggang sebelum dicicah asam limau kasturi yang dicampur cili, bawang merah dan kicap manis.


Manakala terubuk masin sedap digoreng dan dimakan dengan perahan limau kasturi dan cili padi serta berkuahkan dal.


Bagaimanapun, popularitinya secara tidak langsung mengancam pembiakannya apabila berlaku kegiatan perikanan tidak terkawal disebabkan permintaan tinggi terhadapnya terutama yang bertelur, selain kegiatan pembangunan di kawasan pembiakanya.