Selasa, Julai 21

Keratan Akhbar Berkenaan Pemeliharaan Dan Pemuliharaan Ikan Terubuk.

Keratan Akhbar Berkenaan Pemeliharaan Dan Pemuliharaan Ikan Terubuk.

Tuesday, July 21, 2009 8:48 AM



Keratan Akhbar 1


MALUDAM: Kebimbangan nelayan akan kepupusan spesies ikan terubuk yang sinonim dengan negeri ini, mendapat perhatian serius apabila kementerian yang bertanggungjawab mencadangkan supaya kajian proses membiak dan menyimpan benih ikan itu dijalankan segera.


Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia Datuk Rohani Karim berkata, sebelum ini kajian terhadap spesies ikan unik itu telah dijalankan oleh Jabatan Pertanian di Lingga, Sri Aman tetapi kurang berjaya.


Ini kerana katanya, penyelidikan sukar dilakukan memandangkan ikan terubuk yang hanya boleh membiak di habitat semula jadi itu tidak sesuai diternak dalam sangkar atau kolam.

“Menyedari kemungkinan berlaku kepupusan spesies ikan terubuk negeri ini, maka Jabatan Perikanan Malaysia (JPM) diharap dapat membuat kajian mengenai proses untuk membiak benih dan cara menyimpan benih dalam balang khas untuk kegunaan masa depan.


“Ia tidak mustahil kerana saintis JPM telah berjaya membuat penemuan baru bagi menyelamatkan dua spesies ikan air tawar yang hampir pupus iaitu temoleh dan kelah dengan cara menyimpan benih ikan-ikan ini dalam balang khas,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Borneo selepas merasmikan Pesta Maludam 2009 anjuran bersama Pejabat Daerah Betong dan Pejabat Daerah Kecil Maludam di Kampung Maludam, Pusa, semalam.


Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar memberitahu, penemuan terbaru itu membolehkan benih-benih ikan terutama daripada spesies terancam dapat disimpan dalam balang cyro di bawah suhu beku.


“Kajian juga dibuat untuk menghasilkan benih-benih ikan terancam melalui pengambilan sperma daripada ikan jantan demi memastikan keturunan ikan tidak pupus,” jelasnya.


Dalam pada itu, beliau diberi tanggungjawab untuk memperkasakan lagi sektor perikanan negara ini atas arahan ‘bos baru’ kementeriannya, Datuk Noh Omar.


“Saya memilih untuk memberi perhatian khusus dalam sektor perikanan kerana potensi maju bidang ini di Sara-wak, apatah lagi kita dianugerahkan dengan kekayaan hasil laut serta kemudahan canggih di Pelabuhan Perikanan Laut Dalam Tanjung Manis,” katanya sambil menambah, Datuk Noh fokus kepada sektor pertanian dan Datuk Johari Baharum, penternakan.


Bagaimanapun, pemilihan lebih memfokuskan pembangunan sektor perikanan ia tidak bermakna beliau mengabaikan sektor pertanian dan penternakan di Sarawak.


Pesta Maludam 2009 yang dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri itu turut menyaksikan penyerahan geran peruntukan kira-kira RM100,000 termasuk bantuan berupa mesin jahit dan mi serta racun rumput kepada beberapa sekolah dan kampung sekitar daerah kecil Maludam.


Hadir sama, Timbalan Residen Betong Pathi Kerni, Pemangku Pegawai Daerah Betong Friday Belik, SAO Maludam Baijuri Hisham Spawi dan Penghulu Kampung Maludam Awang Karim Awang Amit.


Keratan Akhbar 2

Kaedah 'beku sperma' dikaji elak terubuk Sarawak pupus.


MELUDAM (SARAWAK) 19 April - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedia untuk membuat kajian ke atas sperma ikan terubuk Sarawak ataupun nama saintifiknya, Tenualosa Toli yang kini dilaporkan semakin diancam kepupusan.


Timbalan Menterinya, Datuk Rohani Karim berkata, selepas kejayaan penyelidikan ke atas sperma ikan air tawar seperti kelah di Sungai Pahang dan temoleh di Sungai Perak, kini tumpuan akan diberikan kepada ikan terubuk di Batang Lupar, Sarawak.


''Pusat Penyelidikan Ikan Air Tawar di Negeri Sembilan baru-baru ini telah berjaya membuat satu penemuan baru dalam kajian mereka iaitu berjaya membekukan sperma ikan kelah dan temoleh yang mungkin mampu disimpan untuk tempoh beratus tahun,'' katanya kepada Bernama selepas merasmikan Pesta Meludam 2009 di sini semalam.


Rohani berkata, ketika ini spesies ikan terubuk di negeri ini dikatakan semakin pupus akibat aktiviti penangkapan ikan terubuk yang tidak terkawal dan kaedah tradisional.


Katanya, harga ikan terubuk dan telurnya yang tinggi di pasaran telah menarik minat ramai nelayan untuk menangkap ikan tersebut walaupun ketika ia sedang bertelur.


Tambahnya, sebelum ini Jabatan Pertanian Sarawak telah mengambil beberapa inisiatif untuk memastikan ikan terubuk Sarawak tidak pupus, antaranya melarang nelayan menangkap ikan terubuk ketika musim ia bertelur.


''Ikan terubuk hanya mampu membiak dalam persekitaran liar dan bukannya dalam kolam,'' katanya.


Ikan terubuk Sarawak terkenal bukan sahaja di kalangan penduduk negeri ini malah juga mendapat permintaan yang tinggi di Semenanjung dengan harga sekitar RM15 hingga RM30 sekilogram untuk yang masih mentah manakala terubuk masin pula dijual sekitar RM10 hingga RM20 seekor bergantung kepada saiz.


Sementara itu, Rohani yang baru dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, beliau akan memberi tumpuan terhadap pembangunan nelayan dengan Menterinya, Datuk Seri Mohd. Noh Omar menumpukan kepada pembangunan petani manakala pembangunan penternak dikendalikan seorang lagi timbalan menteri, Datuk Johari Baharom. – BERNAMA